AME Elite bentuk JV tenaga solar dengan BNET

[Bernama]29 June 2020


KUALA LUMPUR, 29 Jun  -- Penyedia penyelesaian hartanah perindustrian bersepadu, AME Elite Consortium Bhd dan Baozhou New Energy Technology Sdn Bhd (BNET) membentuk syarikat usaha sama (JV) untuk menawarkan penyelesaian tenaga solar sehenti kepada syarikat di Semenanjung Malaysia dan taman perindustrian i-Park kumpulan itu.

AME Elite akan memegang kepentingan sebanyak 51 peratus dalam syarikat JV itu melalui anak syarikatnya, Symphony Square Sdn Bhd, manakala BNET akan memegang baki sebanyak 49 peratus.

AME Elite berkata syarikat itu akan menyumbang pengalamannya dalam penyelesaian hartanah perindustrian bersepadu dalam JV itu manakala BNET akan menyediakan kepakaran teknikal dalam tenaga solar, termasuk panel solar dan sistem pengesanan solar.

“Aktiviti utama JV termasuklah pemasangan dan penyambungan panel solar kepada grid pemeteran tenaga bersih (NEM), pengagihan panel solar dan sistem pengesanan solar, serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) projek fotovoltaik solar yang disambungkan kepada grid untuk bangunan komersial dan perindustrian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya JV akan menyasarkan projek baharu dalam pembangunan, pelaburan, pengurusan, operasi dan penyelenggaraan sistem tenaga solar.

Dalam jangka panjang, katanya JV akan turut menyasarkan projek ladang solar terapung dan berskala besar, serta projek EPCC dalam sektor tenaga boleh baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan Kelvin Lee Chai berkata JV akan membolehkan syarikat menambah nilai kepada kilang dan bangunan industri di i-Park serta pelanggan luar lain di Semenanjung Malaysia.

“Ia akan turut mengembangkan keupayaan dan daya saing bahagian pembinaan dan kejuruteraan kami," katanya.

Lee berkata selain menyokong inisiatif tenaga hijau, penggunaan tenaga solar akan turut membantu syarikat mengurangkan bil elektrik dan mengoptimumkan kecekapan tenaga.

sumber: Bernama


Berita Berkaitan:
Berita Harian
Instant SSL Premium